TANPA UNDI PAS, GRS MUNGKIN GAGAL TAWAN SABAH?

Ketua PAS Sabah Aminuddin Aling bersama Ketua Menteri Hajiji Noor dan bekas Ketua Menteri Musa Aman semasa kempen pilihan raya di DUN Sulaman

Sejak beberapa minggu PAS menjadi menjadi tumpuan pelbagai pihak termasuklah menjadi sasaran para pengkritik politik di tanah air khususnya berkaitan dengan pilihan raya negeri Sabah yang ke-16 (PRN-16). Suasana semakin hangat apabila rakan sekutunya samada BN atau PN tidak memberi laluan kepada PAS bertanding di sebarang kerusi terutamanya di 45 kerusi DUN majoriti Islam. Sebelum itu PAS melalui Presidennya Haji Abdul Hadi Awang memaklumkan tentang hasrat PAS bertanding di 10 kerusi DUN manakala Timbalannya pula menyatakan PAS berhasrat bertanding antara 6 atau 10 bergantung kepada hasil perundingan bersama rakan politiknya. Apa yang menarik walaupun PAS tidak bertanding tetapi serangan kepada PAS lebih hebat daripada parti-parti yang bertanding termasuklah menjadi sasaran dalam ceramah politik oleh Ketua Menteri Sabah Mohd Shafie Apdal.

    PAS Sabah yang ditubuhkan secara rasmi pada bulan Mei 1986 di Kota Kinabalu tidak pernah gagal menyertai pilihan raya samada negeri mahupun peringkat parlimen. Penyertaan pertamanya bermula tiga bulan selepas pelancaran PAS Sabah iaitu PRU 1986 yang berlangsung pada bulan ogos dengan menampilkan 3 orang calon di Kota Belud, Kimanis dan Jambongan. PAS kemudiannya menyertai pilihan raya tahun 1990, 1994 (PRN), 1995, 1999(PRN), 2004, 2008, 2013 dan  Pilihan raya yang terbaru disertainya ialah PRU-14 pada tahun 2018. Walaupun PAS tidak pernah memenangi sebarang kerusi namun parti tersebut pernah mencatat keputusan terbaik pada PRU-13 ketika bersama rakan sekutunya Pakatan Rakyat (PR).

    Sudah tentu keputusan tidak bertanding mengecewakan para ahli dan penyokongnya sehingga ada yang menitiskan air mata khususnya di negeri Sabah. Walaupun ianya suatu yang tidak menggembirakan namun PAS bertindak pantas bangkit dengan menghimpukan jentera pilihan raya dari seluruh pelusuk negeri di sebuah Hotel yang terletak di Kota Kinabalu. Berpandukan amanat yang disampaikan oleh Timbalan Presiden PAS yang juga merangkap Menteri Alam Sekitar dan Air, Tuan Ibrahim Tuan Man, seluruh jentera PAS digerakkan bagi membantu rakan-rakan mereka bagi memastikan Parti Warisan dan sekutunya dikalahkan pada pilihan raya kali ini. Berbekalkan dengan semangat “kita kasi jatuh Warisan-PH” ternyata semangat tersebut telah melonjak sokongan para ahli dan penyokongnya kepada GRS.

Keputusan

    Seramai 749,083 orang atau 66.61 daripada 75 peratus (sasaran)  telah keluar mengundi termasuklah pengundi awal, pengundi pos dan pengundi biasa.

    Menjelang hari pengundian rata-rata penganalisis politik sukar meramalkan parti manakah yang akan memenangi pilihan raya kali ni. Majoriti berpandangan kedudukan adalah seimbang dimana  tiada yang dapat membentuk kerajaan dengan majoriti mudah. Sebahagian berpandangan seperti ILHAM Center hasil kajian mereka mendapati Warisan berada di hadapan namun tidak mempunyai kerusi yang mencukupi untuk mendapat majoriti mudah. Terdapat 13 kerusi DUN agak sukar diramalkan walaupun pihak penyelidik telah turun ke lapangan. Namun amat menarik dengan kajian oleh sekumpulan penyelidik SEEDS  yang terdiri dikalangan pensyarah UNIMAS, UMS dan UiTM yang diketuai Dr Arnorld Puyok berpandangan GRS mempunyai peluang untuk memenangi pilihan raya.

    Beberapa tokoh diramalkan menang seperti Anifah Aman (PCS-bekas ahli parlimen) di Bongawan, Musbah Jamli (Bebas-penyandang) di Tempasuk dan Pandikar Amin (USNO-bekas Speaker) di Pintasan ternyata berlaku sebaliknya. Beberapa kerusi yang diramalkan Warisan menang seperti Pantai Manis, Labuk dan Sungai Sibuga disamping Kiulu dan Telupid  diramalkan UPKO menang turut gagal dipertahankan mahupun dirampas. Menariknya pertembungan sesama sekutu GRS tidaklah seperti pepatah melayu mengatakan kalah jadi abu, menang jadi arang. Daripada 17 kerusi tersebut 11 berjaya dimenangi GRS manakala bakinya dimenangi oleh Warisan Plus.

    Keputusan PRN-16 menyaksikan jumlah undi dan peratusan popular GRS dan Warisan Plus adalah hampir sama banyak. Namun oleh kerana sistem pilihan raya Malaysia yang mengguna pakai kaedah majoriti mudah atau first-past-the-post, kemenangan sesebuah parti atau calon dikira berdasarkan undi terbanyak walaupun dengan kelebihan satu undi sahaja. Sistem ini juga dikenali sebagai Single-Member District Plurality turut di amalkan di Amerika Syarikat dan United Kingdom dimana kawasan pilihan raya dibahagi-bahagikan berdasarkan geografi, misalnya di Sabah terdapat 73 kawasan pilihan raya atau lebih dikenali sebagai Dewan Undangan Negeri (DUN).

    Justeru itu walaupun jumlah undi Warisan Plus adalah hampir sama undi GRS namun GRS memperolehi lebih 6 kerusi DUN disebabkan perbezaan kepadatan pengundi DUN Bandar dengan luar Bandar. Dalam erti kata lain, GRS lebih berpengaruh di kawasan luar Bandar sebaliknya Warisan di kawasan Bandar. Selain faktor undi Bandar atau luar Bandar, faktor etnik kekal mempengaruhi corak keputusan PRN Sabah. Misalnya kemenangan besar Warisan di Pantai Timur atau pesisir pantai adalah dipengaruhi oleh undi “bangsa kita” iaitu suku bajau-suluk. Oleh kerana Shafie Apdal berketuruan suku bajau-suluk maka Warisan menerima sokongan tidak berbelah dikawasan-kawasan yang mempunyai kadar pengundi yang ramai disamping sokongan padu para pengundi cina.  

 PARTI

JUM UNDI

UNDI POPULAR

JUM KERUSI

BN

140,996

 

14

PN

125,115

 

17

PBS

50,941

 

7

GRS

317,052

43.25%

38

WARISAN

317,535

43.32%

32

LAIN-LAIN

98,475

13.43%

3

Undi popular dan jumlah kerusi PRN-16


    Sebenarnya trend pengundian PRN-16 ini bolehlah kita simpulkan rakyat Sabah memilih parti yang mempunyai hubungan baik dengan parti nasional demi kelangsungan mereka dan kemajuan negeri Sabah samada Perikatan Nasional (PN) atau Pakatan Harapan (PH). Oleh kerana PN adalah kerajaan semasa yang dilihat sebuah kerajaan yang lebih prihatin dengan nasib rakyat Sabah maka ianya telah memberi kelebihan kepada GRS berbanding Warisan Plus. Kejayaan Perdana Menteri Tan Sri Muhyidin Yasin mengendali convid-19 telah dimanfaat semaksimum mungkin oleh GRS dengan membawa beliau turun berkempen di serata pelosok negeri Sabah. Keadaan sebaliknya berlaku kepada parti lokal seperti Parti Cinta Sabah (PCS), Parti Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) dan Liberal Democratic Party (LDP) yang gagal memenangi sebarang kerusi. Parti-parti lokal ini cuba meniru model parti politik di Sarawak yang mahukan kuasa politik sepenuhnya ditangan elit politik negeri, namun nampaknya gagal mendapat sokongan rakyat kerana sikap mereka yang dilihat tidak mesra dengan parti nasional.

Undi PAS selamatkan calon UMNO dan Bersatu


    Seperti yang diramalkan kekuatan GRS dan Warisan Plus adalah seimbang. Oleh itu kemenangan seseorang calon bergantung kepada faktor penambah yang mempengaruhi kepada sokongan tersebut. Misalnya di beberapa DUN, jika kita lihat jumlah undi yang diperolehi PAS pada PRU-14 (2018), ianya di sekitar 300 – 1600 undi, amat signifikan membantu kemenangan calon UMNO dan Bersatu walaupun dalam jumlah yang kecil. Pada 2018 PAS bertanding secara solo tanpa sebarang rakan sekutu, secara purata memperolehi undi popular sekitar 7-8%..

    Selepas PRU-14 PAS Sabah mengalami peningkatan keahlian baru yang menggalakkan sudah pasti berlakunya  pertambahan undi PAS yang akan menyumbang undi kepada UMNO dan Bersatu. Ternyata faktor undi PAS telah menyelamatkan sekurang-kurangnya di 5 DUN daripada jatuh ditangan parti Warisan dan sekiranya 5 DUN ini gagal dimenangi maka impian Hajiji Noor, Bung Mokhtar Radin, Dr Jeffry Kitingan atau Dr Maximus Ongkili kembali mengambil tampuk pemerintahan kerajaan negeri Sabah tidak mungkin menjadi kenyataan.

--------------------------------------------------

sahimin mustapah adalah pemerhati politik berpengkalan di kota kinabalu, sabah

 

Comments

Popular Posts