TANPA UNDI PAS, GRS MUNGKIN GAGAL TAWAN SABAH?
Ketua PAS Sabah Aminuddin Aling bersama Ketua Menteri Hajiji Noor dan bekas Ketua Menteri Musa Aman semasa kempen pilihan raya di DUN Sulaman
Sejak beberapa minggu PAS menjadi menjadi tumpuan pelbagai pihak termasuklah menjadi sasaran para pengkritik politik di tanah air khususnya berkaitan dengan pilihan raya negeri Sabah yang ke-16 (PRN-16). Suasana semakin hangat apabila rakan sekutunya samada BN atau PN tidak memberi laluan kepada PAS bertanding di sebarang kerusi terutamanya di 45 kerusi DUN majoriti Islam. Sebelum itu PAS melalui Presidennya Haji Abdul Hadi Awang memaklumkan tentang hasrat PAS bertanding di 10 kerusi DUN manakala Timbalannya pula menyatakan PAS berhasrat bertanding antara 6 atau 10 bergantung kepada hasil perundingan bersama rakan politiknya. Apa yang menarik walaupun PAS tidak bertanding tetapi serangan kepada PAS lebih hebat daripada parti-parti yang bertanding termasuklah menjadi sasaran dalam ceramah politik oleh Ketua Menteri Sabah Mohd Shafie Apdal.
PAS Sabah yang ditubuhkan secara rasmi pada bulan Mei 1986
di Kota Kinabalu tidak pernah gagal menyertai pilihan raya samada negeri
mahupun peringkat parlimen. Penyertaan pertamanya bermula tiga bulan selepas
pelancaran PAS Sabah iaitu PRU 1986 yang berlangsung pada bulan ogos dengan
menampilkan 3 orang calon di Kota Belud, Kimanis dan Jambongan. PAS kemudiannya
menyertai pilihan raya tahun 1990, 1994 (PRN), 1995, 1999(PRN), 2004, 2008,
2013 dan Pilihan raya yang terbaru disertainya
ialah PRU-14 pada tahun 2018. Walaupun PAS tidak pernah memenangi sebarang
kerusi namun parti tersebut pernah mencatat keputusan terbaik pada PRU-13 ketika
bersama rakan sekutunya Pakatan Rakyat (PR).
Sudah tentu
keputusan tidak bertanding mengecewakan para ahli dan penyokongnya sehingga ada
yang menitiskan air mata khususnya di negeri Sabah. Walaupun ianya suatu yang
tidak menggembirakan namun PAS bertindak pantas bangkit dengan menghimpukan
jentera pilihan raya dari seluruh pelusuk negeri di sebuah Hotel yang terletak
di Kota Kinabalu. Berpandukan amanat yang disampaikan oleh Timbalan Presiden
PAS yang juga merangkap Menteri Alam Sekitar dan Air, Tuan Ibrahim Tuan Man,
seluruh jentera PAS digerakkan bagi membantu rakan-rakan mereka bagi memastikan
Parti Warisan dan sekutunya dikalahkan pada pilihan raya kali ini. Berbekalkan
dengan semangat “kita kasi jatuh Warisan-PH” ternyata semangat tersebut telah
melonjak sokongan para ahli dan penyokongnya kepada GRS.
Keputusan
Seramai 749,083 orang atau 66.61 daripada 75 peratus
(sasaran) telah keluar mengundi
termasuklah pengundi awal, pengundi pos dan pengundi biasa.
Menjelang hari pengundian rata-rata penganalisis politik
sukar meramalkan parti manakah yang akan memenangi pilihan raya kali ni.
Majoriti berpandangan kedudukan adalah seimbang dimana tiada yang dapat membentuk kerajaan dengan
majoriti mudah. Sebahagian berpandangan seperti ILHAM Center hasil kajian
mereka mendapati Warisan berada di hadapan namun tidak mempunyai kerusi yang
mencukupi untuk mendapat majoriti mudah. Terdapat 13 kerusi DUN agak sukar
diramalkan walaupun pihak penyelidik telah turun ke lapangan. Namun amat
menarik dengan kajian oleh sekumpulan penyelidik SEEDS yang terdiri dikalangan pensyarah UNIMAS, UMS
dan UiTM yang diketuai Dr Arnorld Puyok berpandangan GRS mempunyai peluang
untuk memenangi pilihan raya.
Beberapa tokoh diramalkan menang seperti Anifah Aman (PCS-bekas
ahli parlimen) di Bongawan, Musbah Jamli (Bebas-penyandang) di Tempasuk dan
Pandikar Amin (USNO-bekas Speaker) di Pintasan ternyata berlaku sebaliknya.
Beberapa kerusi yang diramalkan Warisan menang seperti Pantai Manis, Labuk dan
Sungai Sibuga disamping Kiulu dan Telupid
diramalkan UPKO menang turut gagal dipertahankan mahupun dirampas.
Menariknya pertembungan sesama sekutu GRS tidaklah seperti pepatah melayu mengatakan
kalah jadi abu, menang jadi arang. Daripada 17 kerusi tersebut 11 berjaya
dimenangi GRS manakala bakinya dimenangi oleh Warisan Plus.
Keputusan PRN-16 menyaksikan jumlah
undi dan peratusan popular GRS dan Warisan Plus adalah hampir sama banyak.
Namun oleh kerana sistem pilihan raya Malaysia yang mengguna pakai kaedah
majoriti mudah atau first-past-the-post, kemenangan sesebuah parti atau
calon dikira berdasarkan undi terbanyak walaupun dengan kelebihan satu undi
sahaja. Sistem ini juga dikenali sebagai Single-Member District Plurality turut
di amalkan di Amerika Syarikat dan United Kingdom dimana kawasan pilihan
raya dibahagi-bahagikan berdasarkan geografi, misalnya di Sabah terdapat 73
kawasan pilihan raya atau lebih dikenali sebagai Dewan Undangan Negeri (DUN).
Justeru itu walaupun jumlah undi Warisan Plus adalah hampir sama undi GRS namun GRS memperolehi lebih 6 kerusi DUN disebabkan perbezaan kepadatan pengundi DUN Bandar dengan luar Bandar. Dalam erti kata lain, GRS lebih berpengaruh di kawasan luar Bandar sebaliknya Warisan di kawasan Bandar. Selain faktor undi Bandar atau luar Bandar, faktor etnik kekal mempengaruhi corak keputusan PRN Sabah. Misalnya kemenangan besar Warisan di Pantai Timur atau pesisir pantai adalah dipengaruhi oleh undi “bangsa kita” iaitu suku bajau-suluk. Oleh kerana Shafie Apdal berketuruan suku bajau-suluk maka Warisan menerima sokongan tidak berbelah dikawasan-kawasan yang mempunyai kadar pengundi yang ramai disamping sokongan padu para pengundi cina.
PARTI |
JUM UNDI |
UNDI POPULAR |
JUM KERUSI |
BN |
140,996 |
|
14 |
PN |
125,115 |
|
17 |
PBS |
50,941 |
|
7 |
GRS |
317,052 |
43.25% |
38 |
WARISAN |
317,535 |
43.32% |
32 |
LAIN-LAIN |
98,475 |
13.43% |
3 |
Undi
popular dan jumlah kerusi PRN-16 |
Sebenarnya trend pengundian PRN-16
ini bolehlah kita simpulkan rakyat Sabah memilih parti yang mempunyai hubungan
baik dengan parti nasional demi kelangsungan mereka dan kemajuan negeri Sabah
samada Perikatan Nasional (PN) atau Pakatan Harapan (PH). Oleh kerana PN adalah
kerajaan semasa yang dilihat sebuah kerajaan yang lebih prihatin dengan nasib
rakyat Sabah maka ianya telah memberi kelebihan kepada GRS berbanding Warisan
Plus. Kejayaan Perdana Menteri Tan Sri Muhyidin Yasin mengendali convid-19
telah dimanfaat semaksimum mungkin oleh GRS dengan membawa beliau turun
berkempen di serata pelosok negeri Sabah. Keadaan sebaliknya berlaku kepada
parti lokal seperti Parti Cinta Sabah (PCS), Parti Kebangsaan Sabah Bersatu
(USNO) dan Liberal Democratic Party (LDP) yang gagal memenangi sebarang
kerusi. Parti-parti lokal ini cuba meniru model parti politik di Sarawak yang
mahukan kuasa politik sepenuhnya ditangan elit politik negeri, namun nampaknya gagal
mendapat sokongan rakyat kerana sikap mereka yang dilihat tidak mesra dengan parti
nasional.
Undi PAS selamatkan calon UMNO dan Bersatu
Seperti yang
diramalkan kekuatan GRS dan Warisan Plus adalah seimbang. Oleh itu kemenangan
seseorang calon bergantung kepada faktor penambah yang mempengaruhi kepada
sokongan tersebut. Misalnya di beberapa DUN, jika kita lihat jumlah undi yang
diperolehi PAS pada PRU-14 (2018), ianya di sekitar 300 – 1600 undi, amat
signifikan membantu kemenangan calon UMNO dan Bersatu walaupun dalam jumlah
yang kecil. Pada 2018 PAS bertanding secara solo tanpa sebarang rakan sekutu,
secara purata memperolehi undi popular sekitar 7-8%..
Selepas
PRU-14 PAS Sabah mengalami peningkatan keahlian baru yang menggalakkan sudah
pasti berlakunya pertambahan undi PAS yang
akan menyumbang undi kepada UMNO dan Bersatu. Ternyata faktor undi PAS telah
menyelamatkan sekurang-kurangnya di 5 DUN daripada jatuh ditangan parti Warisan
dan sekiranya 5 DUN ini gagal dimenangi maka impian Hajiji Noor, Bung Mokhtar
Radin, Dr Jeffry Kitingan atau Dr Maximus Ongkili kembali mengambil tampuk
pemerintahan kerajaan negeri Sabah tidak mungkin menjadi kenyataan.
--------------------------------------------------
sahimin mustapah adalah pemerhati politik berpengkalan di kota kinabalu, sabah
Comments
Post a Comment