KRISIS POLITIK : MAHU KE MANA PARTI WARISAN SABAH ?
Polemik politik negara melibatkan blok kerajaan, Perikatan Nasional (PN), blok UMNO-Zahid Hamidi dan blok pembangkang yang terdiri daripada Pakatan Harapan (PH) serta sekumpulan parti-parti kecil seperti parti Warisan Sabah (Warisan), parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), parti Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (Upko), Parti Sarawak Bersatu (PSB) dan parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) telah mencetuskan ketidakstabilan politik negara terus memuncak. Disebalik desakan pembangkang yang mahukan Dewan Rakyat mengadakan persidangan untuk membincang perkara-perkara berkaitan pandemik covid-19, keadaan telah bertukar kepada gerakan untuk menjatuhkan kerajaan Tan Sri Muhyiddin Yassin. Tidak ketinggalan ialah Presiden parti Warisan dan kumpulannya, Mohd Shafie Apdal yang nampaknya lantang mengecam tindak tanduk kerajaan PN.
Pendirian Warisan bersama kumpulannya terdiri PSB, Upko dan
MUDA ialah menolak tujuh tawaran Muhyiddin untuk meredakan bahang perebutan
kuasa di negara kita. Bersama-sama Shafie ialah 12 ahli Parlimen iaitu lapan
ahli parlimen Warisan, dua PSB dan masing-masing seorang Upko dan MUDA. Dalam
kenyataan tersebut, pada tahun lepas mereka telah memberi cadangan untuk menstabilkan
politik melalui Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan (Confidence and Supply
Agreement) namun ianya ditolak Muhyiddin. Kumpulan Shafie menuduh Muhyiddin
sombong malah telah menyalahgguna undang-undang untuk kekal berkuasa
termasuklah membeli ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang mengakibatkan
kejatuhan kerajaan Sabah, Melaka, Kedah, Perak dan Johor.
Pada awal januari tahun ini dalam program ‘Regional
Outloook Forum 2021’ anjuran Institut Kaji Selidik Asia Tenggara (ISEAS), Shafie
menyatakan sudah tiba masanya Politik Malaysia bergerak melangkaui politik keperibadian
melibatkan tokoh-tokoh politik lama seperti Dr Mahathir Mohamad dan Anwar
Ibrahim. Tambahnya sebuah gerakan baharu perlu diwujudkan bagi menentang ‘orang
lama’ dan elit politik dalam parti-parti politik untuk memberikan ruang kepada
sesiapa sahaja bersuara serta mengembangkan potensi masing-masing. Beliau
menyalahkan pertembungan antara Mahathir dan Anwar sebagai punca kejatuhan
kerajaan Pakatan Harapan pada februari tahun lepas. Malah terdapat beberapa usaha
untuk memulihkan hubungan Mahathir dan Anwar namun ianya menemui kegagalan. Dalam
menjelaskan idea tersebut Shafie berpandangan sebuah naratif baharu Malaysia
diperlukan melibatkan politik, ekonomi dan sosial. Beliau menolak politik politik
agama dan perkauman sambil meletakkan idea ‘unity’ sebagai asas kepada
pembaharuan melalui demokrasi dengan sistem pentabdiran berasaskan nilai.
Idea ‘unity’ mula diperkenalkan dalam kempen pilihan raya
negeri Sabah dengan slogan ‘Pada Tuhan
kita yakin, berpadu kita mesti’ dan "Kami di sini untuk membangun bangsa,
bukan bangsa atau agama tertentu," dengan hashtag #SabahansUnite. Warisan
telah menukar slogan ‘ubah’ yang digunakan dalam kempen pilihan raya umum ke-14
(PRU-14) kepada ‘unity’. Ia terjemah melalui papan iklan, gegantung dan poster yang
dipasang di seluruh pelusuk negeri Sabah yang berlatarkan warna bendera Sabah
dengan menampilkan grafik wajah Shafie menyerupai seperti bekas Presiden
Amerika Syarikat, Barack Obama. Poster ‘unity’ Shafie disebar dengan meluas di
media sosial seperti facebook, youtube, twitter, whatsapp
dan sebagainya. Kempen Warisan cuba menampilkan Shafie sebagai pemimpin untuk
semua rakyat Sabah bagi melawan kempen pesaingnya yang menuduh Shafie membawa
agenda ‘sempornanisasi’ dan mesra pendatang tanpa izin (PTI). Dalam menjelaskan
kempen ‘Unity’ tersebut, Timbalan Presiden Warisan, Darell Leiking memberitahu
“Shafie rasa kita tak boleh lihat seseorang itu berdasarkan warna kulit atau
kepercayaan tetapi dengan merit yang kita ada. Merit kita adalah rakyat sudah
bersatu sebelum ini, kenapa kita tidak boleh lakukannya sekali lagi dan kali
ini dengan lebih baik antara pantai timur, pantai barat dan kawasan pedalaman Sabah,".
Walau bagaimanapun ternyata kempen ‘unity’ gagal menawan hati rakyat Sabah
apabila blok Warisan Plus tewas kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Ketika berucap dalam Perhimpunan Agung Tahunan Warisan di Kota
Kinabalu, Shafie menyatakan partinya akan melebarkan sayapnya ke semenanjung
dan bukan sekadar di Sabah semata-mata tetapi mengimpikan Warisan menjadi kuasa
dalam membuat keputusan dalam pentadbiran negara. Tambahnya Warisan hendak melebarkan konsep ‘unity’, sebuah
ideologi kepelbagaian kaum dan agama itu ke Semenanjung. “Kalau UMNO boleh
bertapak di Sabah, kalau Amanah boleh bertapak di Sabah kepada tidak Warisan
melebarkan sayap ke Semenanjung?”. Sehingga kini belum ada tanda-tanda Warisan
telah membuka cawangannya di Semenanjung namun terdapat beberapa kenyataan
pemimpinnya seperti Naib Presiden Dr. Jaujan Sambakong memberitahu Warisan
aktif di Selangor, Kuala Lumpur dan Johor. Shafie dalam satu kenyataan
memberitahu Warisan akan bekerjasama dengan parti MUDA yahg diketuai Ahli Parlimen
Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman. Shafie percaya dalam sebuah ketamadunan
manusia, perubahan banyak dibawa oleh generasi muda, maka perubahan negara
ketika ini hendaklah digerakkan oleh golongan muda. Dalam siri kenyataan
mutakhir ini MUDA diihat terlibat sama dengan Warisan, Upko dan PSB sebagai
petunjuk MUDA akan menjadi rangkaian Warisan di Semenanjung.
Dengan beberapa kronologi tersebut,
kita boleh mamahami impian, ke mana hala tuju Shafie dan parti Warisan. Dengan idea
‘unity’, Shafie cuba membawa pendekatan politik melangkaui batasan kaum dan
agama yang berasaskan merit kepada rakyat Malaysia. Realitinya idea ‘unity’
Warisan bukan suatu perkara yang baharu, ianya telah lama diketengahkan sejak
zaman Onn Jaafar melalui Parti Kemerdekaan Malaya (IMP) namun gagal mendapat sambutan rakyat ketika itu. Terdapat
parti pelbagai kaum selepas itu misalnya Parti Rakyat Malaysia (PRM), Parti
Tindakan Demokratik (DAP), Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Parti
Bersatu Rakyat Jelata Sabah (Berjaya), Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti
Bersatu Sabah (PBS) dan lain-lain. Parti Bersatu Sabah (PBS) semasa diterajui
oleh Joseph Pairin Kitingan pernah melebarkan sayapnya ke Semenanjung Malaysia
dan pernah meletak beberapa orang calon dalam pilihan raya umum. Parti Upko
juga pernah membuka cawangan di Semenanjung dengan memberi tumpuan kepada
penyertaan orang asal namun ia sudah lama tidak kedengaran. Timbul persoalan,
mampukah Warisan mendapat tempat di Semenanjung? Sudah tentu kayu ukurnya jumlah
kerusi yang dimenangi Warisan dalam pilihan raya sebagai bukti penerimaan
rakyat terhadap partinya.
Perletakan jawatan Perdana Menteri
ke-8 Muhyiddin Yassin telah memberi kesempatan kepada Shafie diketengahkan sebagai
calon Perdana Menteri ke-9. Sepertimana yang ditegaskan oleh Ketua Wira Warisan
Mohd. Azis Jamman peluang perlu diberikan kepada ahli Parlimen Sabah (Shafie)
untuk menerajui kepimpinan negara. “Ini terutama selepas 60 tahun Malaysia
dibentuk, tidak pernah dalam sejarah pemimpin dari Sabah diberi peluang
menerajui negara dan pertimbangan untuk merealisasikan Perjanjian Malaysia
1963,”. Untuk merealisasikan cita-cita Shafie, beliau memerlukan
sekurang-kurangnya 112 ahli Parlimen menyokong beliau. Ketika ini blok Shafie
memiliki 12 ahli Parlimen, jika dicampur empat Ahli Parlimen Pejuang maka
jumlahnya adalah 16 orang, Shafie memerlukan sekurang-kurangnya 96 orang lagi
untuk membolehkan beliau menjadi PM. Maka dari mana datangnya 96 orang itu? Blok yang menolak Muhyiddin adalah seramai 120
orang terdiri daripada PH (89 orang), diikuti UMNO-Zahid (15), Warisan (8), Pejuang
(4), Muda (1), calon bebas (2), PSB (2) dan Upko (1). Sehingga kini Shafie mendakwa
beliau dan Anwar hanya memiliki 105 ahli Parlimen, kurang enam orang. "Ini
berasaskan 105 sokongan yang ada, Anwar ada 105, saya ada 105 sokongan. Tetapi,
dalam 105 sokongan ini, siapa di antara kita dapat meraih undi menambah
kekuatan itu untuk menjadi calon pilihan," katanya kepada Astro AWANI.
Masa sangat suntuk buat Shafie
kerana titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa
Billah Shah supaya semua anggota Dewan Rakyat menghantar surat akuan kepada
Istana Negara dan menamakan seorang calon pilihan sahaja untuk dilantik sebagai
Perdana Menteri yang ke-9 selewat-lewatnya sehingga pukul 4 petang hari ini (18
Ogos). Di sebelah blok PN-BN mendakwa mereka telah memiliki bilangan yang
mencukupi untuk menamakan Ismail Sabri sebagai calon PM ke-9. Difahamkan Ismail
telah memiliki 115 orang ahli Parlimen, manakala Anwar atau Shafie memiliki 105
orang maka peluang Shafie atau Anwar semakin tipis kerana dengan baki dua orang
ahli Parlimen ianya masih tidak mencukupi.
Kemudian dalam menghadapi pilihan raya umum ke-15 mampukah Warisan mengatasi BN, PN, PH malah Pejuang? Ini kerana pada bulan april lepas Shafie memberitahu Warisan telah melepaskan ikatan permuafakatan dalam Pakatan Plus kepada Pakatan Minus. Ini bermakna Warisan berhak bekerjasama dengan mana-mana parti berdasarkan prinsip-prinsip yang dipersetujui. Sekiranya Warisan kembali berhasrat bekerjasama dengan PH dan Pejuang, berapa kerusi yang bakal ditandingi oleh Warisan di Semenanjung sedangkan PKR, DAP dan Amanah telahpun mempunyai susunan agihan kerusi berdasarkan prestasi dalam PRU-14? Jika Warisan, Upko dan PSB mampu menguasai parlimen di Sabah dan Sarawak, kemudian MUDA mampu memenangi sebahagian kerusi di Semenanjung blok Shafie boleh menjadi kuasa tawar-menawar dalam meletakkan parti itu dalam arus politik negara. Selepas pilihan raya umum 2008, Sabah dan Sarawak menjadi ‘king maker’ kepada mana-mana kerajaan Persekutuan. Misalnya PRU-12 dan PRU-13 BN Sabah dan BN Sarawak menjadi penyelamat kerajaan UMNO-BN. Begitulah juga dalam PRU-14, Warisan, PKR dan DAP Sabah dan Sarawak menjadi penyumbang kepada tertubuhnya kerajaan PH. Sebaliknya sekiranya Warisan gagal menyerlah sepertimana yang berlaku dalam PRN Sabah 2020, masa depan Warisan akan menjadi samar-samar dan tidak menentu. Jangan nanti yang dikejar tak dapat yang dikendong keciciran.
Comments
Post a Comment