PRU-14, BN SABAH AKAN TUMBANG?
Penantian pembubaran Parlimen dan Dewan Undangan Negeri
(DUN) di seluruh negeri (kecuali Sarawak) semaki n mendebarkan malahan banyak
cakap-cakap mengatakan ianya akan dibubarkan pada penghujung bulan mac atau
awal april nanti. Yang pasti bulan april dan mei akan menyaksikan rakyat akan
menyambut hari raya demokrasi kali ke-14 dimana rakyat sekali lagi akan keluar
ke kotak undi untuk menentukan parti manakah yang akan mendapat mandat menerajui
kerajaan Persekutuan dan negeri untuk tempoh lima tahun akan datang.
Di kepulauan Borneo, bahang pilihanraya juga semakin terasa terutamanya
di bumi di bawah bayu, lebih-lebih lagi selepas kemunculan bekas Naib Presiden
UMNO yang berasal dari daerah Semporna. Datuk Seri Shafie Apdal bersama
beberapa orang wakil rakyat yang meninggalkan PKR, DAP dan UMNO seperti YB
Dairell Leiking, YB Terence Siambun, YB Junz Wong disamping YB Datuk Jaujan
Sambokong mengasaskan Parti Warisan Sabah.
Kemunculan Parti Warisan ini telah memanaskan suhu politik
Sabah malahan sesetangah pihak mengatakan Warisan mungkin mengulangi sejarah
kejatuhan parti pemerintah sebelum ini seperti kejayaan Parti BERJAYA (Barisan
Rakyat Jelata Sabah) menumbangkan Parti USNO
(United Sabah National Organisation) pada tahun 1976 dan PBS (Parti Bersatu
Sabah) yang berjaya menumbangkan Parti BERJAYA pada tahun 1985. Kehadiran
Warisan dalam kancah politik Sabah ternyata menjadi buah mulut rakyat Sabah
malah jumlah kehadiran disetiap program anjuran mereka sentiasa mendapat
sambutan hangat.
Persaingan sengit
Apa yang menarik di Sabah kali ini, terdapat
sekurang-kurangnya 20 parti politik yang berdaftar samada parti politik berasaskan
negeri atau parti politik nasional. Disamping itu beberapa parti politik yang membentuk
gabungan atau kerjasama dengan sekurang-kurangnya 3 kumpulan, Barisan Nasional
Sabah yang merupakan parti pemerintah sekarang, Gabungan Sabah (United Sabah
Alliance) dan Pakatan Harapan (PH Sabah).
Anggota Barisan Nasional Sabah terdiri daripada United Malay
National Organisation (UMNO-YAB Tan Sri Musa Aman), Parti Bersatu Sabah (PBS-YB
Datuk YB Dr Maximus Ongkili), United Pasokmomogun Kadazandusun Murut
Organisation (UPKO-YB Datuk Wilfred Tangau), Parti Bersatu Rakyat Sabah
(PBRS-YB Tan Sri Joseph Kurup) Liberal Democratic Party (LDP-YB Datuk Teo Chee
Kang), Parti Gerakan (YB Datuk Raymond Tan), MCA dan MIC serta United Sabah
Bajau Organisation (USBO-Tan Sri Pandikar Amin Hj Mulia) yang merupakan NGO yang
bergabung dalam BN.
Manakala Gabungan Sabah diwakili oleh Parti Solidariti Tanah
Airku (Star-YB Datuk Dr Jeffry Kitingan), Parti Maju Sabah (SAPP-Datuk Yong
Teck Lee), Parti Harapan Sabah (Harapan-YB Datuk Lajim Hj Ukin) dan Parti
Perpaduan Rakyat Sabah (PPRS-Arshad Abdul Mualap). PH Sabah pula terdiri
daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR-YB Christina Liew), Parti Tindakan
Demokratik (DAP-Stephen Wong) dan Parti Amanah Negara (Haji Hamzah Abdullah).
Disamping itu Parti Cinta Sabah (YB Datuk Wilfred Bumburing)
dan Parti Anak Negeri Sabah (Anak Negeri-Datuk Henrynus Amin) telah membentuk
kerjasama politik bagi menyatukan parti-parti politik yang mahu dikenali
sebagai MOMOGUN. Manakala Parti Warisan masih gagal membentuk kerjasama dengan
mana-mana parti politik sehingga kini. Begitu juga dengan Parti Islam
SeMalaysia Sabah (PAS) juga difahamkan masih belum membentuk Gagasan Sejahtera
Sabah seperti mana yang telah dilakukan di Semenanjung Malaysia.
Parti lain di Sabah termasuk Parti Kerjasama Rakyat Sabah
(PAKAR), Parti Kebangsaan Sabah (PKS), Parti Gagasan Bersama Rakyat Sabah
(BERSAMA), Parti Kebenaran Sabah (KEBENARAN) dan Parti Bersatu Bugis Sabah
(PBBS), Parti Ekonomi Rakyat Sabah (PERS), Parti Damai Sabah (SPP), Pertubuhan
Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO Baru) serta Parti Sejahtera Angkatan Perpaduan
Sabah (SAPU)
Apakah Parti Warisan
mampu melakukannya?
Sehingga kini parti pembangkang masih berselisih bagaimana
untuk mewujudkan satu blok pembangkang yang kuat terutamanya dalam soal pertandingan
2 penjuru sahaja atau lebih dikenali satu lawan satu. Menurut sumber, Parti
Warisan berminat bertanding sekurang-kurangnya 70% daripada 60 kerusi DUN dan
selebihnya diagih-agihkan kepada PCS dan PH Sabah. Namun demikian hal ini tidak
dipersetujui oleh Presiden PCS, YB Datuk Wilfed Bumburing yang mahukan agihan
kerusi yang lebih seimbang dan sesebuah parti tidak boleh bertanding melebihi
50% daripada jumlah kerusi DUN.
Manakala GS pula dalam kenyataannya baru-baru ini, Datuk
Lajim memberitahu bahawa 90% kerusi telahpun selesai diagihkan manakala baki
10% sedang dalam perundingan akhir. Ini bermakna GS sudah tidak berminat
bekerjasama dengan Warisan apatah lagi dengan PH. Melihat kepada perkembangan yang berlaku ini maka
hampir pasti Sabah akan menyaksikan pertandingan pelbagai penjuru melibatkan BN,
GS, PH, Warisan, PCS, Anak Negeri, PAS dan parti-parti lain.
Maka timbul persoalan, masih adakah peluang kepada Parti
Warisan untuk mengambil alih tampuk pemerintahan Sabah dan seterusnya
menobatkan Datuk Seri Shafie Apdal menjadi Ketua Menteri Sabah yang baru?
Sahimin Mustapah
Artikel ini diterbit untuk portal 1media 17 Mac 2018
Comments
Post a Comment