DILEMMA SHAFIE APDAL MAHATHIR ATAU MUHYIDDIN
Ketika beberapa buah negeri seperti Johor, Melaka, Perak dan
terkini Kedah mengubah haluan bagi menyesuaikan diri dengan perubahan arus politik negara,
Sabah yang ditadbir Parti Warisan Sabah (WARISAN) bersama rakan sekutunya Parti
United Progressive Kinabalu Organisation (Dulu dikenali sebagai Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu - UPKO) dan Pakatan Harapan Sabah (PH) ( Parti
Keadilan Rakyat - PKR dan Democratic Action Party - DAP) mengambil sikap
yang berbeza dengan mengekalkan pendirian mereka untuk terus menyokong Tun Dr
Mahathir Mohamad sebagai calon Perdana Menteri. Ketua Menteri Sabah Datuk Seri
Mohd Shafie Apdal (Shafie) dalam sidang
akhbar selepas mesyuarat khas bersama 42 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan
14 Ahli Dewan Rakyat (ADR) di Pusat Pentadbiran Kerajaan Negeri Sabah
memberitahu demi kepentingan rakyat Sabah kerajaannya akan terus bekerjasama
dengan mana-mana Kerajaan Persekutuan yang ada melalui pendekatan G2G (Kerajaan
dengan Kerajaan). Bagi Shafie walaupun
Sabah sebuah negeri pembangkang, ia berkemampuan meneruskan semua rancangan
pembangunannya, “Kelantan mampu menguruskan negeri itu meskipun sebagai
pembangkang selama beberapa dekad, tidak ada sebab kenapa Sabah tidak dapat
menguruskan negeri ini”.
Sejarah politik Sabah, ia pernah
menjadi negeri pembangkang apabila Parti
Bersatu Sabah (PBS) yang diketuai oleh Tan Sri Joseph Pairin Kitingan mengambil
keputusan mengejut keluar daripada gabungan Barisan Nasional (BN) beberapa hari
menjelang hari pengundian Pilihan Raya Umum (PRU) 1990 untuk menyertai pembangkang Gagasan Rakyat yang diketuai oleh
Tengku Razaleigh Hamzah (Kuli) Presiden Parti Melayu Semangat 46 (S46) dan
sekutunya Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan DAP. Keputusan PBS telah mendorong
Parti United Malay National Organisation (UMNO) mengambil keputusan
drastik melebarkan sayapnya ke negeri Sabah dengan kerjasama Parti United
Sabah National Organisation (USNO) disamping Jawatankuasa Penaja UMNO Sabah
yang dipelopori Datuk Seri Panglima Mohd Dun Banir sejak 1986 serta bekas
pemimpin dan ahli parti BERJAYA. Sejak dari peristiwa tersebut sepanjang tempoh
pemerintahan kerajaan PBS, sentiasa bergelora dan menerima tekanan daripada
kerajaan Persekutuan dan BN sehinggalah beberapa pemimpin PBS keluar parti dan
kemudian menubuh parti baru seperti Parti Maju Sabah (SAPP) yang diketuai oleh
bekas Timbalan Presiden PBS Datuk Yong Teck Lee.
Keputusan PRU-14 2018 menyaksikan WARISAN berjaya memenangi 21 kerusi DUN daripada 45 calon yang dipertandingkan. Walau bagaimanapun WARISAN masih belum mampu membentuk kerajaan bersama PKR dan DAP kerana kekurangan 2 kerusi untuk menang dengan majoriti mudah.
BN |
WARISAN |
DAP |
PKR |
STAR |
|
UMNO |
17 |
21 |
6 |
2 |
2 |
PBS |
6 |
||||
UPKO |
5 |
||||
PBRS |
1 |
||||
JUMLAH |
29 |
21 |
6 |
2 |
2 |
Keputusan PRU-14 DUN Sabah
BN mendakwa memiliki kelebihan 2 kerusi apabila parti Solidariti Tanah Air (Star) pimpinan Datuk Dr Jeffrey Kitingan menyebelahi blok BN bagi membolehkan Datuk Musa Hj Aman (Musa) ke Istana mempersembahkan jumlah sokongan yang diperolehi untuk mengangkat sumpah Ketua Menteri Sabah.
Tidak sampai 24 jam selepas Musa mengangkat sumpah, Shafie pula mendakwa memperolehi sokongan majoriti 35 ADUN apabila 6 ADUN BN (2 ADUN UPKO bersama 4 ADUN UMNO) melompat menyokong kumpulan Shafie, kemudiannya turut mengangkat sumpah di Istana Negeri. Keadaan ini menyebabkan Sabah mempunyai 2 Ketua Menteri, mengulangi apa yang pernah berlaku pada tahun 1985 dimana Presiden USNO Tun Datu Mustapha Datu Harun telah mengangkat sumpat Ketua Menteri terlebih dahulu dan selang beberapa hari kemudian Presiden PBS Datuk Joseph Pairin Kitingan turut mengangkat sumpah Ketua Menteri Sabah di hadapan Yang di-Pertua Negeri Tun Datuk Haji Mohd Adnan Robert. Tindakan 6 ADUN BN tersebut adalah berpunca perubahan politik di Putrajaya apabila BN telah tumbang kepada Pakatan Harapan (PH) buat pertama kalinya di peringkat Persekutuan selepas memerintah negara selama tempoh 63 tahun. Mereka berpandangan adalah sukar memberi khidmat kepada rakyat sekiranya Sabah menjadi negeri pembangkang.
Konflik Shafie vs Musa berlanjutan apabila Musa bertindak menyaman Yang di-Pertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin dan Shafie bagi mendapatkan pengisytiharan bahawa beliau kekal sebagai Ketua Menteri yang sah mengikut peruntukkan undang-undang manakala pengakuan sumpah Mohd Shafie sebagai Ketua Menteri oleh Yang di-Pertua Negeri adalah tidak berperlembagaan dan tidak sah. Namun demikian Mahkamah Tinggi kemudiannya menolak kes pemula yang difailkan Musa bagi mendapat pengisytiharan bahawa beliau adalah Ketua Menteri yang sah dan seterusnya mengiktiraf Shafie kekal sebagai Ketua Menteri Sabah yang sah. Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Yew Jen Kie dalam penghakimannya berkata isu sama ada pelantikan Shafie tidak berperlembagaan dan tidak sah adalah negatif. Tindakan 6 ADUN BN yang menyokong pakatan WARISAN, DAP dan PKR sudah cukup membuktikan Musa telah hilang penguasaan terhadap majoriti Dewan Undangan Negeri Sabah.
Negara sekali lagi dilanda krisis politik apabila runtuhnya kerajaan PH pada 24 Februari lalu selepas 22 bulan memegang tampuk pemerintahan Persekutuan. Konflik ini sedikit sebanyak memberi tempias terhadap keutuhan kerajaan WARISAN-UPKO-PH. Keputusan Parti BERSATU keluar daripada gabungan PH menyebabkan ADUN yang masih bersama Shafie tinggal 43 orang sahaja. Dari segi angka kerajaan Shafie masih memiliki majoriti 2/3 satu kedudukan yang kukuh untuk beliau menyempurnakan baki mandat kerajaan beliau. Namun demikian apakah kedudukan ini benar-benar kukuh dan stabil? Apabila ditanya wartawan khabar angin mengenai ada usaha yang cuba membeli wakil rakyat untuk menjatuhkan kerajaan negeri sekarang di Sabah, Shafie berkata mereka tidak tahu siapa yang akan mahu (dibeli) tetapi mereka tidak akan memaksa sesiapa untuk kekal jika mereka tidak mahu. “Ketika saya membentuk Kerajaan Negeri, dia tidak membeli sesiapa. Tetapi saya fikir masanya sudah tiba untuk kita mengubah budaya politik di Sabah. Saya fikir kami mesti menunjukkan jalan kepada rakyat Sabah, apakah nilai-nilai yang betul untuk kami sebagai ahli politik dan pemimpin, untuk melindungi kepentingan negara dan rakyat,” katanya.
PARTI |
WARISAN |
DAP |
PKR |
UPKO |
BERSATU |
PBS |
UMNO |
STAR |
Asal |
21 |
6 |
2 |
5 |
0 |
6 |
17 |
2 |
Lompat |
10 |
0 |
0 |
(2)+1 |
9 |
(2) |
(16) |
1 |
JUMLAH |
31 |
6 |
2 |
4 |
9 |
4 |
1 |
3 |
Kedudukan terkini ADUN Sabah selepas PRU-14
Ketika krisis siapakah PM 8, Sabah dan Sarawak mendapat perhatian kerana peranan “kingmaker” dalam menentukan calon PM 8 yang memerlukan sokongan sekurang-kurangnya 112 ADR dari seluruh negara. Apabila Tun Dr Mahathir Mohamad (Mahathir) dan Dato Seri Anwar Ibrahim (Anwar) gagal mendapat sokongan mencukupi, Sabah dan Sarawak terus menjadi perhatian kerana situasi persaingan semakin sengit apabila PH kembali menyokong Mahathir manakala Muafakat Nasional (MN), BN, BERSATU dan kumpulan Azmin Ali pula menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin (Muhyiddin) sebagai PM 8. Akhirnya ia menyebelahi Muhyiddin apabila Gabungan Parti Sarawak (GPS) menyokongnya manakala PBS dan Star mengambil sikap menyokong siapa sahaja dipilih PM 8.
Timbul persoalan mampukah kerajaan Shafie bertahan sebagai negeri pembangkang dengan tempoh pemerintahan hanya berbaki 2 hingga 3 tahun lagi. Jika sebelum ini 5 ADR Warisan dilantik 3 menteri penuh dan 2 timbalan menteri namun kali ini wakil Sabah di Persekutuan diwakili 3 menteri penuh dan 4 timbalan menteri daripada BERSATU (3), PBS(1), PBRS(1) dan Star(1) yang sudah tentu akan mengasak dan berusaha menawan Sabah daripada parti gabungan WARISAN. Jika sebelum ini perundingan Akta Malaysia 1963 dirundingi terus bersama PM Mahathir tetapi kali ini kerajaan Shafie terpaksa berurusan dengan kementerian khusus untuk Sabah dan Sarawak yang diketuai oleh Datuk Seri Dr Maximus Ongkili. Sejarah politik Malaysia, isu hubungan negeri-persekutuan sentiasa menjadi polemik khususnya negeri-negeri pembangkang samada ketika kerajaan BN mahupun PH. Kita boleh lihat dalam isu royalti minyak Kelantan dengan Persekutuan, kerajaan PH berdolak dalih walaupun manifesto PH secara jelas menyatakannya :-
Negeri-negeri pengeluar minyak dan gas akan diberi royalti atau nilai bersamaan yang sewajarnya. Kezaliman UMNO dan Barisan Nasional yang memberi dana berdasarkan perkiraan politik akan dihentikan.
Kerajaan Pakatan Harapan akan menambah jumlah royalti petroleum kepada Sabah dan Sarawak, serta negeri-negeri pengeluar petroleum yang lain, kepada 20 peratus atau nilai yang bersamaan, sebagai salah satu langkah pembahagian hasil petroleum yang lebih adil.
Petikan Buku Harapan muka surat 21
Comments
Post a Comment