SHAFIE APDAL : PUTERA BORNEO PM KE-9?

Dalam beberapa minggu terakhir nama Datuk Shafie Apdal menarik perhatian umum apabila bekas Perdana Menteri Malaysia keempat (PM4) dan ketujuh (PM7) Tun Dr Mahathir Mohamad telah menamakan Shafie sebagai calon Perdana Menteri kesembilan (PM9) bagi mewakili pembangkang Pakatan Harapan Plus (PH Plus). PH Plus adalah dianggotai Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Tindakan Demokratik (DAP), Parti Amanah Negara (Amanah), Parti Warisan Sabah (Warisan) dan serpihan PPBM yang diketuai oleh Mahathir sendiri. Namun demikian PKR, DAP dan Amanah tidak bersependapat dengan cadangan Mahathir kerana PKR sejak dari awal lagi bertegas tetap mahukan Presiden partinya Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi calon PM9 manakala DAP dan Amanah secara dasarnya berminat dengan idea tersebut. Walau bagaimanapun DAP dan Amanah mengubah sikap mereka untuk bersama-sama dengan rakannya PKR dengan mengambil ketetapan mencadangkan Anwar calon PM9. Pendirian terbaru PH tersebut menyebabkan Mahathir dan kumpulannya mengisytiharkan keluar daripada gabungan PH Plus dengan membentuk kumpulan bebas bersama Warisan.

Apa yang menarik cadangan Mahathir ternyata mendapat sambutan dan sokongan elit politik di Borneo termasuklah pemimpin  DAP dan Amanah. Diantara parti Sabah yang menyokong idea Mahathis ialah United Progressive Kinabalu Organisation (UPKO). UPKO secara konsisten menyokong kepimpinan Mahathir sebagai Perdana Menteri sejak tampuk pemerintahan negara berubah selepas pilihanraya umum pada 2018. “Selepas perubahan Perdana Menteri pada Mac lalu, UPKO kekal dengan pendirian untuk terus menyokong Tun Mahathir dan yang terkini, beliau mencadangkan teman seperjuangan saya, Datuk Seri Shafie sebagai calon Perdana Menteri; UPKO sokong cadangan ini,” kata Presiden UPKO Datuk Seri Wilfred Madius Tangau. Tangau yang merupakan Timbalan Ketua Menteri Sabah menyifatkan cadangan Mahathir sebagai “impian yang menjadi kenyataan" kerana rakyat Sabah dan Sarawak telah menunggu selama enam dekad untuk rakan politik dari Borneo Malaysia memimpin negara ini yang tidak akan pernah membayangkan bahawa  dapat melahirkan Perdana Menteri dari Sabah. DAP Sabah dalam satu kenyatan, 10 pemimpin negeri parti itu menggesa Jawatankuasa Eksekutif Pusat parti itu supaya mengesahkan cadangan tersebut. Mereka juga menggesa semua ahli Parlimen dari Malaysia Timur supaya berdiri di belakang Shafie untuk mencipta sejarah negara ini dengan melantik perdana menteri dari timur. “Ini kali pertama dalam sejarah Malaysia sejak 1963 seorang warga Malaysia Timur disebut-sebut sebagai calon perdana menteri bagi kerajaan persekutuan. Pengerusi Amanah Sabah Lahirul Latigu berkongsi perasaan yang sama dengan rakan PH Sabah berkata, pencalonan tersebut cukup penting dan signifikan terhadap rakyat di Sabah sesuai dengan asas pembentukan Malaysia yang meletakkan negeri sebagai salah satu rakan kongsi bersama Sarawak dan Malaya dalam Perjanjian Malaysia 1963. “Pencalonan ini adalah satu bentuk keterbukaan dan kesungguhan politik yang memberi ruang kepimpinan utama negara diterajui oleh pemimpin daripada Sabah khususnya dan Borneo amnya yang selama 57 tahun ini didominasi oleh pemimpin daripada Semenanjung sahaja”.

Selain pemimpin Sabah, pemimpin Sarawak turut menyatakan sokongan mereka terhadap Shafie. Diantaranya ialah bekas Pengerusi PKR Sarawak Baru Bian yang kini menyertai Parti Sarawak Persatu (PSB) berkata  sebagai rakan setaraf di Persekutuan Malaysia, pemimpin Sabah dan Sarawak harus mempunyai hak yang sama seperti di Semenanjung Malaysia untuk menjadi Perdana Menteri. “Datuk Seri Shafie Apdal merupakan ahli politik berpengalaman dan pemimpin parti yang kuat di Sabah. Beliau memenuhi syarat untuk jawatan itu, dan pemimpin PH harus memberikan sokongan terhadap cadangan itu sebagai cara untuk mengakhiri kebuntuan terhadap calon Perdana Menteri”. Baru berkata, satu-satunya syarat dalam Perlembagaan Persekutuan ialah orang yang layak dilantik sebagai Perdana Menteri oleh Yang diPertuan Agong adalah seseorang yang mendapat kepercayaan majoriti di bawah Artikel 43 (2)(a).  Kenyataan Ahli Parlimen Selangau tersebut adalah selari dengan pendirian partinya yang turut menyatakan sokongan rasmi tersebut terhadap Shafie sebagai “pencalonan pemimpin dari Malaysia Timur sebagai Perdana Menteri adalah matlamat yang diperjuangkan oleh rakyat Sarawak yang setia”. Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen dalam satu kenyataan menyokong Shafie berkata, pemilihan Shafie adalah peluang terbaik bagi Malaysia Barat untuk membina kembali keharmonian hubungan antara kaum dan agama yang baik pada masa lalu yang masih menjadi ciri khas Sabah dan Sarawak dengan menyifatkan Shafie seorang pemimpin yang benar-benar mempromosikan kebebasan beragama dan keharmonian kaum.

Pelancaran UMNO Sabah 1991 : Perdana Menteri dari Sabah

Semasa Mahathir berucap sempena upacara pelancaran UMNO Sabah dan Perhimpunan Agung USNO di Kota Kinabalu pada 21 Februari 1991, Mahathir pernah membayangkan kemungkinan seorang Perdana Menteri Malaysia datangnya dari negeri Sabah.  Diantara ucapan tersebut  “Tun Datu Mustapha kata, mungkinkah orang Sabah boleh jadi Perdana Menteri. Ini mungkin dan orang Sabah boleh jadi Perdana Menteri tetapi mestilah berlagak bukan sebagai anak Sabah. Kalau saya berjuang untuk menjadi Presiden UMNO sebagai orang Kedah, orang lain tak akan sokong. Undi dari negeri Kedah sedikit sahaja, saya perlu undi dari negeri-negeri lain. Dengan itu saya tidak boleh pun berkata bahawa saya anak Kedah. Saya anak Malaysia.”  Tambah Mahathi r lagi “Kalaulah adat sekarang ini masih dikekalkan dan UMNO masih kukuh dan kuat, insyaAllah presiden UMNO dari Sabah ini akan menjadi Perdana Menteri. Tetapi kalau kita bertanding untuk jawatan Majlid Tertinggi (MT) UMNO dengan asas hanya kita anak Sabah maka kita akan dapat undi dari Sabah sahaja. Kita mesti bersikap bahawa kita adalah Bumiputera Melayu yang menjadi ahli UMNO. Ini amat penting sekali.”

Sejak UMNO datang ke Sabah 29 tahun dahulu, terdapat beberapa tokoh UMNO Sabah yang pernah menduduki  hierarki kanan dalam UMNO seperti Shafie, Datuk Seri Panglima Dr Salleh Said Keruak dan  Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin. Shafie berjaya menduduki takhta Naib Presiden UMNO beberapa penggal (2009-2016), Salleh Keruak,  Bendahari UMNO (2016-2018) dan Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, Ketua Puteri UMNO (2009-2013). Disamping itu terdapat juga berapa tokoh Sabah lain seperti Datuk Azizah Mohd Dun, Naib Ketua Wanita UMNO (2013-2019) dan Jamawi Jaafar, Ketua Penerangan Pemuda UMNO (2013-2018) dan sebagainya.  

Dari segi politik, Shafie lahir dikalangan keluarga elit politik Semporna. Moyang beliau Panglima Uddang adalah salah seorang daripada tiga pengasas daerah Semporna  yang memberi nama  “Tong Talun”, nama asal Semporna. Bapa saudara beliau Tun Sakaran Dandai adalah tokoh veteran politik Sabah yang tidak asing lagi, merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri ADUN) Semporna yang pertama sejak  pilihan raya negeri 1967. Sakaran adalah Ketua Menteri  dan Yang di-Pertua Negeri  Sabah yang kelapan. Shafie  adalah lulusan ijazah sarjana muda ekonomi dari Universiti Staffordshire, England pernah menjadi ahli ekonomi di Kementerian Kewangan Sabah pada tahun 1982. Beliau kemudian berpindah ke Jabatan Ketua Menteri Negeri Sabah sebagai Pegawai Pentadbir Kanan pada 1984, tahun 1987, sebagai Penolong Setiausaha Kanan, Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Luar Bandar Sabah. Melihat kepada potensi Shafie, Pak cik beliau Tun Sakaran telah melantiknya sebagai Setiausaha politik semasa Sakaran memegang Menteri Tanah dan Pembangunan Koperasi antara tahun 1991 hingga 1993. Bermula daripada saat ini, kerjaya DSSA di peringkat persekutuan telah bermula.

Beliau mula terlibat dalam politik dengan menyertai Parti Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) pada tahun 1990, kemudian menyertai UMNO apabila bertapak di negeri itu dan terpilih sebagai Exco Pemuda UMNO bagi penggal 1993/1996 setelah mendapat tempat ke-12 dengan jumlah 198 undi. Pada tahun 1995 Shafie telah dipilih sebagai Ketua UMNO Bahagian Semporna dan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Sabah. Perjalanan politik Shafie terus bersinar apabila memenangu AMT UMNO antara tahun 2000 hingga 2003 dan seterusnya Naib Presiden UMNO pada tahun 2009. Sebelum mendapat kepercayaan penuh memegang jawatan menteri penuh, Shafie dilantik Setiausaha Parlimen, Kementerian Penerangan (1995 - 1999), Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (1999), Timbalan Menteri Pertahanan (1999-2004). Karier politik semakin melonjak naik apabila mendapat kepercayaan bagi mewakili rakyat Sabah dilantik sebagai Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (2004-2008), Menteri Perpaduan Nasional, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (2008-2009) dan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (2009 -2015). Bakat kepimpinan Shafie telah meletak beliau pada kedudukan dalam kelompok elit politik yang berpengaruh di peringkat nasional mahupun negeri.

Walau bagaimanapun jodoh Shafie dengan UMNO berakhir apabila beliau digantung keahlian UMNO pada 24 June 2016 bersama-sama Tan Sri Muhyidin Yassin dan Mukhriz Mahathir atas kesalahan disiplin,  akibat kelantangan beliau mengkritik pimpinan UMNO kerana membangkitkan isu 1 Malaysia Development Berhad (1MDB),   kemudiannya keluar UMNO pada 4 Julai 2016. Selepas itu Shafie cuba menghidupkan Parti Pembangunan Warisan Sabah yang telah di tubuh pada 2013 bagi menghadapi parti yang pernah disertainya, UMNO. Menyedari akan gelombang sokongan yang diperolehinya, beliau telah menjenamakan semula parti yang diambil alih oleh beliau kepada Parti Warisan Sabah (Warisan) yang mendapat kelulusan daripada Pendaftar Pertubuhan (RoS) pada 17 Oktober 2016. Melalui penubuhan Warisan,Shafie berjaya menggerakkan gelombang perubahan rakyat dengan slogan “Sabah UbaH” bersama rakan-rakan daripada parti gabungan Pakatan Harapan (PH) maka pada Pilihan Raya Umum ke-14 pada 9 Mei 2018, Warisan berjaya membentuk kerajaan dengan bantuan beberapa ADUN BN yang menang daripada UPKO dan UMNO melompat menyokong kepimpinan beliau. Dengan tsunami politik yang berlaku pada Mei 2018, Shafie akhirnya berjaya menjadi Ketua Menteri Sabah yang ke-15.

Cadangan Mahathir ternyata telah memberi semangat baru kepada rakyat Borneo di Sabah, Sarawak dan Labuan akan peluang dikalangan mereka menjawat jawatan nombor satu negara. Mahathir dan Shafie mempunyai beberapa persamaan, diantaranya langkah politik mereka berdua sentiasa berhasil dan mencapai kejayaan. Misalnya Shafie berjaya mengatasi saingan politik terdekat beliau seperti Musa Aman dan Salleh Keruak sepertimana Mahathir berjaya mengatasi saingan politik beliau seperti Musa Hitam, Ghaffar Baba, Tengku Razaliegh Hamzah dan Anwar Ibrahim. Masih terlalu awal untuk menilai sejauh manakah pencalonan Shafie PM-9 berhasil atau tidak, namun cetusan Mahathir sepertimana yang pernah beliau ungkapkan semasa pelancaran UMNO Sabah 29 tahun dahulu, ternyata telah membuka mata ramai pihak adalah tidak mustahil suatu hari nanti rakyat Borneo juga mungkin menjadi Perdan Menteri Malaysia yang selama ini didominasi oleh pemimpin dari Semenanjung Malaysia.

--------------------------------------------------
sahimin mustapah adalah pemerhati politik berpengkalan di kota kinabalu, sabah
Artikel ini diterbit untuk portal 1Media 23 Julai 2020

Comments

Popular Posts